[Kenapa Manusia Tidak Berbogel?]
Aurat dari segi bahasa membawa maksud keaiban dan dari sudut istilah syarak ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.
Antara fitrah manusia adalah mereka menyedari akan adanya nilai maruah dan perasaan malu di dalam diri mereka. Tanpa bicara dari sudut suruhan agama pun manusia memahami akan tuntutan untuk menutup aurat.
Sebab itu jika dilihat manusia di seluruh dunia ini tidak kiralah samada semoden atau semundur mana kehidupan mereka, pasti mereka akan berpakaian dan menutup bahagian-bahagian tertentu. Hatta orang asal di hutan-hutan terpencil sekalipun mereka tampil berpakaian dengan cara mereka samada menutup dengan daun-daun di bahagian kemaluan mereka dan sebagainya.
Ini merupakan salah satu dari fitrah yang terdapat di dalam diri manusia. Malah norma masyarakat dan moraliti juga memahami terdapat dua jenis terma pemakaian iaitu pakaian yang sopan atau yang mencolok mata bagi wanita. Pakaian yang sopan itu sinonim dengan pakaian yang labuh dan menutup anggota badan. Malah, kebanyakkan negara memiliki adat kesopanan ini menterjemahkan melalui pakaian tradisional mereka seperti Kimono, Hanbok, Baju Kurung, Klederdracht, Bunad, Gomesi, Khanga, Kaftan, Abaya, dan banyak lagi.
Perbezaan Aurat
Tanpa membahas dari sudut agama pun manusia dapat memahami beberapa anggota aib yang berbeza di antara lelaki dan perempuan. Jika dilihat secara umum, majoritinya manusia ini tidak akan bertelanjang bulat bila berhadapan dengan orang awam. Paling minima pun mereka akan menutup di bahagian kemaluan dan juga bahagian dada khusus bagi perempuan. Dan di sini dapat dilihat perbezaan diantara anggota aib yang ditutup itu berbeza di antara lelaki dan perempuan.
Perbezaan fitrah ini adalah bentuk asal yang telah Allah tetapkan kepada manusia. Dan perbezaan kedudukan perasaan aib di kalangan lelaki dan perempuan ini juga berfaktorkan kepada fizikal, sifat dan perasaan yang berbeza diantara keduanya. Malah naluri juga berbeza.
Perempuan memahami dengan memakai pakaian yang mencolok mata adalah bertujuan untuk menarik perhatian lelaki. Sebab itu, perempuan yang berpakaian sedemikian lebih kerap diganggu oleh lelaki. Dan fitrah lelaki sememangnya gemar melihat dan mudah terangsang apabila melihat anggota badan perempuan. Itu adalah fitrah yang telah tertanam di dalam diri manusia. Itu antara hikmahnya Allah menyuruh lelaki menunduk pandangan dan menjaga kemaluan di dalam surah an Nur ayat 30 sebelum ayat 31 yang menyuruh wanita menutup aurat.
Fitrah ini berbeza di antara lelaki dan perempuan. Sebab itu jika dilihat dan dipersoalkan, kenapa perempuan (secara umumnya) pada hari ini gemar menunjukkan peha mereka dan memakai baju ketat dan sendat? Dan kebiasaan lelaki biasanya (majoriti) hanya memakai seluar panjang atau pendek dan berbaju biasa. Dan agak jarang melihat lelaki memakai seluar ketat yang yang menampakkan peha mereka. Persoalannya kenapa berlaku begitu?
Itulah fitrah yang telah ditanam di dalam diri manusia. Fitrah ini perlulah diuruskan dengan baik berdasarkan dengan hukum yang diturunkan oleh Allah. Oleh kerana Allah sang pencipta manusia mengetahui akan kejadiannya maka Allah juga menurunkan hukum untuk menjaga dan melindungi fitrah ini dengan manggariskannya di dalam wahyu supaya lelaki dan perempuan menutup auratnya.
Wahyu Dan Aurat Lelaki
Di dalam hadis dan Bible masing-masing menyebut kedudukan aurat bagi lelaki:
“Sesudah itu Sem dan Yafet mengambil sehelai kain dan membentangkannya pada bahu mereka berdua, lalu mereka berjalan mundur; mereka menutupi aurat ayahnya sambil berpaling muka, sehingga mereka tidak melihat aurat ayahnya.” (Kejadian 9: 23)
“Buatlah celana pendek daripada kain linen untuk mereka. Panjang celana itu dari pinggang sampai paha, untuk menutup bahagian tubuh yang tidak wajar dilihat” (Keluaran 28: 42)
Atau di dalam terjemahan Indonesia LAI 1993 memakai perkataan aurat:
“Buatlah celana-celana lenan bagi mereka untuk menutupi daging auratnya: celana itu haruslah dari pinggang sampai paha panjangnya.” (Keluaran 28: 42)
Begitu juga apa yang diungkapkan oleh nabi Muhammad SAW di dalam hadis menceritakan kedudukan aurat kepada lelaki yang bermaksud:
Rasulullah bersabda: “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa peha adalah aurat?” (HR Abu Daud : 4014)
Adapun di dalam masalah ini ulama Islam berbeza pandangan dengan berdasarkan hadis lain yang mengisyaratkan aurat lelaki itu adalah hanyalah bahagian depan dan belakang kemaluan sahaja. (Shahih Bukhari: 371).
Teks ini jelas mengkhabarkan bahawa aurat orang lelaki adalah dari bahagian kemaluannya sehinggalah peha. Adapun di dalam Islam, para ulama menggariskan kedudukan lutut hingga pusat adalah kawasan yang perlu berjaga-jaga agar tidak tersingkap aurat mereka.
Wahyu Dan Aurat Wanita
Versi Bible
Di dalam kitab Perjanjian Lama dan Baru banyak menyentuh kedudukan aurat bagi wanita.
Di dalam bible terdapat banyak ayat yang menceritakan perihal aurat wanita. Disenaraikan sebahagian dalam Alkitab Indonesia LAI 1993:
“Janganlah kau singkapkan aurat saudara perempuan ibumu atau saudara perempuan ayahmu, kerana aurat seorang kerabatnya sendirilah yang dibuka, dan mereka harus menanggung kesalahannya sendiri.” (Imamat 20:19)
“8. Janganlah kau singkapkan (buka) aurat seorang isteri ayahmu, kerana ia hak ayahmu. 9. Mengenai aurat saudaramu perempuan, anak ayahmu atau anak ibumu, baik yang lahir di rumah ayahmu mahupun yang lahir di luar, janganlah kau singkapkan auratnya. 10. Mengenai aurat anak perempuan dari anakmu lelaki atau anakmu perempuan, janganlah kau singkapkan auratnya, kerana dengan begitu engkau menodai keturunanmu. 11. Mengenai aurat anak perempuan dari seorang isteri ayahmu, yang lahir pada ayahmu sendiri, janganlah kau singkapkan auratnya, kerana ia saudara perempuanmu. 12. Janganlah kau singkapkan aurat saudara perempuan ayahmu, kerana ia kerabat ayahmu. 13. Janganlah kau singkapkan aurat saudara perempuan ibumu, kerana ia kerabat ibumu. 14. Janganlah kau singkapkan aurat isteri saudara lelaki (isteri bapa saudara) ayahmu, janganlah kau hampiri isterinya, kerana ia isteri saudara ayahmu. 15. Janganlah kau singkapkan aurat menantumu perempuan, kerana ia isteri anak lelakimu, maka janganlah kau singkapkan auratnya. 16. Janganlah kau singkapkan aurat isteri saudara lelakimu, kerana itu hak saudara lelakimu. 17. Janganlah kau singkapkan aurat seorang perempuan dan anaknya perempuan. Janganlah kau ambil anak perempuan dari anaknya laki-laki atau dari anaknya perempuan untuk menyingkapkan auratnya, kerana mereka adalah kerabatmu; itulah perbuatan mesum. 18. Janganlah kau ambil seorang perempuan sebagai madu kakaknya untuk menyingkapkan auratnya di samping kakaknya selama kakaknya itu masih hidup. 19. Janganlah kau hampiri seorang perempuan pada waktu cemar kainnya yang menajiskan untuk menyingkapkan auratnya.” (Imamat 18: 8-19)
Terdapat banyak ayat yang menceritakan soal aurat perempuan di dalam Bible, akan tetapi tidak ada satupun ayat secara jelas menjustifikasikan kedudukan aurat perempuan itu pada bahagian mana. Hasil perbincangan kami dengan paderi dan ilmuan Kristian, kami tidak dapat menemui jawapan yang disepakati di dalam masalah ini.
Ada dikalangan mereka menyatakan aurat itu adalah hasil pemahaman individu terhadap dirinya, sekira seseorang wanita mendedahkan pehanya dan dia tidak merasa ia mengacam dan diancam maka peha itu bukan aurat baginya. Pandangan sebegini tidak kukuh, persoalannya mata lelaki manakah yang menjadi kayu ukur bahawa peha wanita itu tidak mengancam?
Hasil penelitian, kami membuat rumusan bahawa aurat wanita di dalam Bible adalah seluruh tubuhnya kecuali kaki, tangan dan wajah. Pertama sekali di dalam bible begitu banyak sekali ayat berbicara soal aurat perempuan antaranya dalam Imamat, Yeremia 13: 26, Yesaya 47: 3, Yehezkiel bab 16, bab 22:10, 23: 10 dan banyak lagi. Bilangan ini menunjukkan bahawa banyakknya anggota aurat yang perlu wanita menjaganya. Dalam bible juga menyuruh untuk wanita bertudung:
“ Tetapi tiap-tiap perempuan yang berdoa atau bernubuat dengan kepala yang tidak bertudung, menghina kepalanya, sebab ia sama dengan perempuan yang dicukur rambutnya.” (1 Korintus 11: 5)
“ Pertimbangkanlah sendiri: Patutkah perempuan berdoa kepada Allah dengan kepala yang tidak bertudung?” (1 Korintus 11: 13)
Jelas bahawa seorang penanut Kristian wajib menutup kepala dan menutup bahagian badannya daripada didedahkan kepada khalyak ramai. Sepertimana kebiasannya kita dapat melihat pakaian biarawati yang bertudung dan berpakaian labuh itu menepati apa yang disarankan di dalam Bible. Dalam Matius juga dijelaskan bahawa wanita perlu berpakaian sopan dan menutupi anggota badanya daripada dilihat orang kerana perbuatan itu dianggap berzina.
“Kalian tahu bahawa ada ajaran seperti ini: Jangan berzina. Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: barangsiapa memandang seorang wanita dengan nafsu berahi, orang itu sudah berzina dengan wanita itu di dalam hatinya.” (Matius 5 : 27-28)
Versi al Quran
Allah berfirman di dalam al Quran yang bermaksud:
“Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain daripada yang nyata (mesti terbuka daripada bahagian badannya yang sangat perlu dalam pekerjaan sehari-hari, seperti mukanya dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka sampaikan kudungnya ke leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya), dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya), kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anak-anaknya, anak-anak suaminya, saudara-saudaranya, anak-anak saudara lelaki, anak-anak saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba sahaya kepunyaannya, lelaki yang menjalankan kewajibannya tetapi tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan – umpamanya pelayan-pelayan lelaki yang sudah tua dan tiada lagi mempunyai keinginan kepada perempuan) dan kanak-kanak yang belum mempunyai pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka pukulkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (misalnya melangkah dengan cara yang menyebabkan betisnya terbuka atau perhiasan seperti gelang/rantai kakinya nampak). Dan taubatlah kamu semuanya kepada Allah, hai orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur: 31)
“Wahai Muhammad! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” (Surah al Ahzab: 59)
Malah banyak lagi pendalilan yang berkaitan dengannya. Allah menetapkan hukum ini sesuai melindungi fitrah manusia. Jika mahu dibincangkan dari sudut hikmah mengapa ditentukan demikian maka ia boleh diulas di dalam penulisan khusus perbincangan mengenai hikmah menutup aurat nanti. InsyaAllah
Agama Yang Menganjurkan Untuk Bertelanjang
Di dunia ini terdapat agama palsu yang menganjurkan penganutnya supaya bertelanjang di atas nama agama. Sebagai contoh di India, terdapat tokoh yang mencipta agama baru hasil daripada pecahan ajaran Brahma pada zaman Vedik iaitu Mahavira lahir pada 599 SM. Beliau terkenal dengan bertapa dengan cara bertelanjang. Malah patung-patung Mahavira juga diukir dengan tidak berpakaian. Agama ini dikenali sebagai Jainisme yang mana salah satu konsepnya yang terkenal adalah ‘ahimsa’ (tidak berlaku kekerasan) yang telah diserap ke dalam Hindu dan Buddha pada hari ini.
Pada hari ini agama Jainisme masih wujud di India. Mereka memiliki dua mazhab utama iaitu Digambara dan Svetambara. Digambara bermaksud pakaian langit manakala Svetambara adalah berpakian putih. Aliran Digambara adalah golongan pertapa yang bertelanjang. Dikatakan sekiranya seseorang itu masih merasa malu ketika bertelanjang maka ia dikira dari golongan yang belum mencapai iman yang tinggi.
Agama ini juga dikritik hebat oleh Siddharat Gautama Buddha pada zamannya. Di dalam kitab Vinaya Pitaka menceritakan Siddharta Gautama Buddha menegur seorang pertapa yang bertelajang:
“Now at that time a certain Bhikkhu came naked up to the place where the Buddha was, and said:
'The Buddha, Lord, has praised in many ways the moderate man and the contented who has eradicated (evil), who has shaken off his passions, who is gracious, reverent, energetic. Now this nakedness, Lord, is in many ways effectual to moderation and content, to the eradication of evil, to the suppressions of the passions, to graciousness, reverence, and zeal. It were well, Lord, if the Lord Buddha would enjoin nakedness upon the Bhikkhus.'
The Buddha rebuked him, saying, 'This would be improper, O foolish one, crooked, unsuitable, unworthy of a Samana (ascetics), unbecoming, and it ought not to be done. How can you, O foolish one, adopt nakedness as the Titthiyas do? This will not conduce, O foolish one, to the conversion of the unconverted.'
And when he had rebuked him, and had delivered a dhamma discourse, he addressed the Bhikkhus, and said:
'You are not, O Bhikkhus, to adopt nakedness, as the Titthiyas do. Whosoever does so, shall be guilty of a grave offence (Thulakaya). (Vinaya Pitaka, Khandhaka, Mahavagga, Khandaka ke lapan: 8: 28)
Kesimpulan
Malu, maruah dan juga kehormatan adalah sesuatu nilai yang terdapat di dalam setiap diri manusia. Ia adalah fitrah yang telah sedia ada. Hatta berlaku kepada Jainisme yang menyarankan untuk bertelanjang itu merupakan pertentangan dengan fitrah mereka sendiri sehingga mereka mengukur keimanan mereka dengan perasaan malu yang terbit di dalam diri mereka. Malah jika diperhatikan di dalam mazhab Digambara ini hanyalah golongan lelaki sahaja yang dilihat bertelanjang. Manakala wanita pula ramai dikalangan mereka mengambil aliran Svetambara yang bertutup litup dengan pakaian putih. Dalam tidak sedar mereka juga memahami tuntutan fitrah ini ke atas wanita.
Wahyu yang Allah diturunkan melalui Taurat, Injil dan al Quran adalah sesuai dengan tuntutan fitrah manusia. Malah apa yang digariskan oleh Allah itu bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan norma kemanusiaan. Dan di dalam artikel akan datang mengulas tentang isu wanita dan juga hijab. InsyaAllah.
Wallahua’lam
R&D Team MRM
Search