Ramai orang Malaysia yang pernah menetap di Jepun. Tidak semuanya boleh suka dan dapat menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan di sini.
Makanan tak kena dengan tekak. Sunyi kerana tiada pergaulan dan gagal berbaik dengan jiran. Macam-macam alasan yang boleh buat rasa tak sabar-sabar nak balik.
Aku dulu, di hantar ke Wakayama bukanlah kerana pilihan sendiri. Tapi sudah ditetapkan oleh JPA dan pihak universiti.
Risau juga mulanya. Senior sesama negara pun tiada. Tak dapat nak merujuk dan mengadu masalah dalam bahasa yang bahasa yang paling mudah difahami.
Setelah tiba dan mulakan kehidupan, terus hilang semua kerisauan. Masyarakat di situ baik-baik belaka.
Di universiti ada kerani khas untuk pelajar asing. Apa saja masalah yang berkaitan pelajaran boleh jumpa dia.
Setiap pelajar asing juga diberikan seorang mentor yang sama sealiran.
Mentor yang aku dapat seorang kaki anime. Setiap kali jumpa ada saja ilmu baru berkaitan yang aku dapat. Belajar bahasa melalui anime dan komik ini bagus juga sebenarnya.
Ada juga persatuan khas yang banyak membantu pelajar asing. Win Concord namanya.
Ramai dari mereka adalah ahli perniagaan. Ada yang pernah menetap di luar negara. Ada anak yang belajar di luar negara, atau mereka yang memang minat untuk berkomunikasi dengan orang luar.
Mereka tolong carikan perabot, barangan letrik dan lain-lain keperluan lalu berikan kepada kami dengan percuma.
Ada saja aktiviti perjumpaan yang mereka anjurkan. Supaya kami tidak rasa tersisih dan boleh rapat dengan masyarakat setempat.
Semua ini punca kenapa aku jatuh cinta dengan Jepun dan boleh terus tinggal lama di sini. Kebetulan tempat yang aku datang, terasa ibarat kampung sendiri.
Walau ada juga kenangan pahit, aku masih juga sukakan tempat ini.
Win Concord juga mencarikan keluarga angkat supaya kami dapat merasakan budaya dan kehidupan Jepun dengan lebih dekat.
**********
Lelaki tua dalam gambar ini adalah ayah angkat aku, Kubota san. Rumahnya terletak di kawasan perkampungan Arida di Wakayama. Berhampiran bukit. Ada sungai jernih yang mengalir berhampiran. Banyak ikan Ayu di situ.
Waktu ini aku belum terjebak dengan hobi memancing. Belum kenal Rapala dan Abu Garcia. Mahu ikan pergi cari di pasar saja.
Hari tiada kelas, jika tiada kerja sambilan selalulah aku datang ke rumah dia. Tolong kutip buah limau. Tolong bersihkan kebun. Dia akan bagi upah walaupun aku menolak.
Kubota san hidup berdua saja dengan isterinya. Tiada anak. Aku dilayannya macam anak sendiri. Suka sungguh mereka setiap kali aku datang.
Satu hal saja yang aku tak tahan. Selalu ajak aku pergi mandi telanjang sekali. Ini satu budaya Jepun yang aku tak boleh nak terima hingga sekarang.
"Apa nak dimalukan. Kita semua sama saja lurusnya. Kamu punya bengkok ke?" Dia bergurau.
Aku terdiam. Senyum kelat.
Bukan masalah lurus bengkok. Ini masalah lain. Susah untuk aku terangkan pada dia.
Pada satu hari, bila sampai di rumah, terus dia ajak aku ke sawah. Ada sesuatu yang dia nak tunjukkan.
Sampai di satu parit kecil terus dia terjun turun. Ada ikan koi besar yang dikurung di dalam bakul. Dia keluarkan dan suruh aku pegang.
Aku menolak. Rasa geli dan tak selesa dengan bau hanyir ikan itu.
Isteri dia datang bawa kamera. Waktu bergambar dia cuba lagi suruh aku pegang. Aku tetap tak mahu. Riak wajahnya nampak berubah. Nampak sedikit kecewa.
Hari sebelumnya dia jumpa ikan tu. Terdampar di kawasan cetek. Dia tangkap dan kurung untuk lepaskan semula ke kawasan berair yang lebih dalam.
Dia simpan dulu untuk tunjukkan pada aku. Dengan harapan aku gembira. Malangnya riaksi aku mengecewakan dia.
Setiap kali tengok gambar ini, terkenang balik dan rasa bersalah. Jelas nampak kehampaan pada wajahnya.
Teringatkan dia, teringat juga pada arwah abah. Selalu abah ajak aku pergi ikut dia mencari ayam hutan waktu malam. Setiap kali dia ajak, aku menolak. Bila abah dah tiada baru aku rasa menyesal. Tak dapat nak cuba rasa kegembiraan dia.
Sekarang aku ada anak. Aku ada hobi memancing. Bila ajak anak pergi memancing dan mereka menolak. Terasa sunyi.
Sunyi yang dalam.
Kalian masih ada ayah? Hargailah permintaan mereka. Walaupun kecil. Pura-puralah suka walaupun tidak. Sekali saja pun tak apa.
Credit Sham Piman
同時也有10000部Youtube影片,追蹤數超過2,910的網紅コバにゃんチャンネル,也在其Youtube影片中提到,...